Thursday, June 30, 2011

Penjelasan terperinci tentang sebab-sebab Tambo Alam Naning ini dibukukan?

"Tambo Alam Naning adalah suatu pendokumentasian Adat Perpatih Naning yang terperinci dan tersusun. Buku ini merupakan hasil usaha Yang Amat Mulia Dato' Mohd. Shah bin Mohd. Said al-Haj, Orang Kaya Seri Raja Merah Dato' Penghulu Naning (Undang Naning yang ke-18) yang amat perihatin terhadap peranan dan fungsi undang-undang adat dalam pembentukan susila masyarakat Melayu umumnya. Pendokumentasian ini amat penting dalam pembangunan tamadun bangsa Melayu, mencerminkan ketertiban adab dan adat berasaskan agama Islam dalam kehidupan bangsa Melayu. Daripada penglahiran undang-undang adat yang asalnya dalam bentuk lisan, kini generasi kita dan generasi yang akan datang boleh terus menyelami kehalusan, ketinggian dan kejituan tamadun bangsa Melayu melalui Tambo Alam Naning ini."

Daripada penjelasan yang tertulis di belakang buku Tambo Alam Naning ini, bahawa Y.A.M. al-Marhum Dato' Mohd. Shah bin Mohd. Said al-Haj, Dato' Orang Kaya Seri Raja Merah Dato' Penghulu Naning (Undang Naning yang ke-18) ada mempunyai sikap perihatin kepada masyarakat Melayu khususnya anak-anak buah Naning. Buku ini telah di bukukan pada tahun 1996 dengan disokong serta dibantu oleh Dewan Bahasa dan Pusaka, maka buku ini dapat dicetakkan khas bagi anak-anak buah Naning dan masyarakat awam untuk mengenali lebih lanjut tentang sejarah dan adat yang ada di dalam wilayah yang mengamalkan Adat Perpatih ini. Diharap agar sekalian anak-anak buah Naning bolehlah rujuk di dalam blog ini atau pergi ke cawangan kedai buku Dewan Bahasa dan Pusaka yang ada menjual buku Tambo Alam Naning dengan harga 48.00 Ringgit Malaysia. Marilah kita sama-sama memartabatkan budaya serta adat resam kita Adat Perpatih Naning!