Wednesday, July 20, 2011

Kata Pengorak Sela 2 (Sambungan)

Diingatkan juga kepada semua Dato' Lombago Nan Bosokat (Lombago Adat dan Lombago Syarak) iaitu dalam Adat Nan Diadatkan, Adat Nan Istiadat, Adat Nan Teradat dan Adat Nan Resam, segala sebutan yang rangkai kata seperti "Kocek" tidak boleh disebut "kecil" dan unjok boghi tompek somondo kopado orang somondo" tidak boleh diubah "pemberian tempat semenda kepada orang semenda". Ini adalah sebab tiap-tiap satu patah ubah sebutannya, maka tidaklah dapat menepati maknanya yang sebenar mengikut Adat Nan Diadatkan.

(Penjelasan 1)

Ini adalah satu peringatan kepada seluruh Dato' Lomboga Nan Bosokat iaitu Lombago Adat dan Lombago Syarak tentang beberapa adat yang perlu mereka mengetahui serta faham akan sesuatu pekara yang ingin mereka jalankan disepanjang adat nan diadatkan di dalam wilayah Adat Perpatih Naning ini.

Berkenaan tentang Adat Perpatih pula, terdapat beberapa hukum-hukum adat yang direka oleh Datuk Pepatih Nan Sebatang iaitu Adat Nan Sebenar Adat, Adat Nan Diadatkan, Adat Nan Istiadat dan Adat Nan Teradat. Adat Nan Resam adalah suatu adat yang ditambah di dalam Wilayah Adat Perpatih Naning, akan kami terangkan sedikit sebanyak tentang adat ini. Berikut adalah pengenalan lebih lanjut tentang adat-adat ini serta dimulai dengan satu lagi adat yang dipanggil Adat Nan Sebenar Adat:

Adat Nan Sebenar Adat

"Adat Nan Sebenar Adat" adalah adat yang merangkumi seluruh aspek kehidupan alam ini yang tidak boleh diubah sama sekali dan ini semua adalah sesuatu yang dikatakan sebagai Sunnahtullah seperti contoh: Kambing mengembek, Lembu mengembu dan sebagainya. Salah satu contoh yang boleh saya terangkan secara jelas tentang Adat Nan Sebenar Adat iaitu kematian, kematian adalah sesuatu Adat Nan Sebenar Adat kerana kita tidak boleh sama sekali lari daripada ajal yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. melalui Qadak dan Qadarnya. Setiap makhluk Allah yang hidup, pasti akan mati dan tidak boleh kekal sama sekali. Di dalam Adat Nan Sebenar Adat juga ada diselikan pengerangan dari Al-Quran dan As-Sunnah daripada Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pedoman untuk kita semua. Berikut adalah penjelasan daripada beberapa buku yang saya dapat bagi memberikan kefahaman yang lebih mendalam tentang "Adat Nan Sebenar Adat":

Adat ini merupakan suatu peraturan masyarakat yang wujud dengan berasaskan kenyataan-kenyataan alam semula jadi. Keadaan alam yang wujud itu telah memberi pengalaman dan pengajaran kepada manusia untuk membentuk diri, perlakuan dan jiwa bagi menjalani kehidupan sehari-hari. Setelah kedatangan Islam, adat ini disesuaikan pula dengan ajaran Islam dengan memasukkan garis-garis atau asas-asas Islam yang merangkumi sifat-sifat kemanusiaan, keadilan dan ketatasusilaan. (Sabariah Abdullah 2005: 9)

Adat Nan Sabana Adat, adalah ketentuan-ketentuan atau norma-norma Adat yang lahir karena adanya sabda tuhan didalam Al-Quran yang disampaikan oleh Rasulullah Muhammad s.a.w. serta hadis-hadisnya. Untuk strata ini berlaku apa yang telah disinggung diatas tadi yaitu: Tidak lekang karena panas dan tidak lapuk karena hujan, dan berlaku diseluruh Alam Minangkabau serta rantuannya. Aturan-aturan itu dibuat dan disepakati berdasarkan syariat Agama Islam dan hukum alam yang nyata, dia tidak akan berobah atau dirobah oleh manusia, kecuali atas kehendak Tuhan Allah semata. (H. Julius DT. Malako Nan Putiah 2007: 11)

Adat Nan Diadatkan

Adat Nan Diadatkan adalah sesuatu adat yang kebanyakkannya merangkumi aspek kehidupan seharian serta kata-kata yang banyak menggunakan perbilangan atau dipanggil sebagai pepatah petitih dan ianya juga dijadikan satu Tambo atau kata hukum yang dijalankan di dalam sesebuah daerah tersebut. Kata-Kata ini juga adalah suatu kata-kata yang turun-temurun diperturunkan kepada orang-orang adat daripada zaman ke zaman seterusnya.

Adat Nan Diadatkan juga adalah suatu kata-kata adat yang tidak boleh diubah mengikut kata bahasa Melayu tetapi dengan menggunakan dialek yang dipertutur oleh orang-orang asal pada daerah tersebut. Selalunya Adat Nan Diadatkan adalah kata-kata muafakat segala Dato'-Dato' Adat di dalam mesyuarat mengikut pada apa yang sepakati di dalam Balai Adat itu sendiri. Berikut adalah penjelasan tentang Adat Nan Diadatkan menurut beberapa buku Adat Perpatih:

Adat ini merupakan peraturan-peraturan yang dibentuk berasaskan pengalaman-pengalaman yang dipengaruhi oleh Adat yang sebenar Adat. Adat ini diterangkan dalam bentuk pepatah atau perbilangan yang dipanggil teromba. Teromba merupakan bentuk undang-undang yang tidak dikanunkan. Teromba hanya disampaikan secara lisan daripada generasi kepada generasi yang seterusnya. Teromba yang dilukis ini menyentuh beberapa aspek kehidupan bermasyarakat iaitu politik, sosial, kepercayaan, pendidikan dan lain-lain. (Sabariah Abdullah 2005: 9)

Adat Nan Diadatkan, adalah aturan-aturan atau ketentuan-ketentuan yang diadatkan berdasarkan hukum alam yang nyata, dan untuk ini berlaku ketentuan diasak indak layua-dicabuik indak mati, biasa disebut dengan Adat nan Babuhue mati, berlaku diselurtuh Alam Minangkabau. Untuk pertama kali Adat yang dibuat berdasarkan musyawarah itu dibuat oleh nenek kita Dt. Parpatih Nan Sebatang dan Dt. Katumanggungan. Adat strata ini dibuat atau disusun berdasarkan mufakat seluruh Ninik Mamak dalam lingkup Alam Minangkabau sesuai dengan situasi dan kondisi pada zaman itu. Untuk masa sekarang bilamana diperlukan adanya pembaharuan, penyempurnaan, perbaikan atau penyesuaian dengan kemajuan zaman dan perkembangan ilmu pengetahuan dan tekhnologi atau modenisasi, maka paling tepat dilaksanakan oleh Lembaga Kerapatan Adat Alam Minangkabau (LKAAM), sebagai suatu lembaga resmi yang bertanggungjawab untuk pelestarian, pewarisan dan pembinaan budaya dan Adat Minangkabau. Sebagai contoh kita kemukakan beberapa ketentuan Adat yang termasuk dalam strata ini. (H. Julius DT. Malako Nan Putiah 2007: 12)

Adat Nan Istiadat

Berikut adalah penjelasan tentang Adat Nan Istiadat:

Adat Istiadat merupakan acara yang dilakukan mengikut susunannya yang tertentu dalam konteks budaya, sosial dan upacara amalnya yang tersendiri. Adat Istiadat merupakan adat yang paling banyak berubah. Adat ini boleh diubah dengan mudah sekiranya seseorang atau anggota masyarakat tidak menyukai adat tersebut. (Sabariah Abdullah 2005: 10)

Adat Istiada, adalah aturan-aturan atau ketentuan-ketentuan yang bersifat bunga-bunga Adat, terutama dalam pelaksanaan acara perhelatan atau pesta Adat. dan kebiasaan-kebiasaan rutin kehidupan dipedesaan. Adat Istiadat ini sangat bergantung pada kemampuan ekonomi masyarakat didaerah setempat, sehingga antar daerah yang satu dengan daerah yang lain akan berbeda.
(H. Julius DT. Malako Nan Putiah 2007: 15).

Adat Nan Teradat

Adat Nan Teradat adalah sesuatu adat yang direka-rekan oleh Dato' Penghulu (Undang) serta Dato'-Dato' yang ada di dalam Lembaga Adat. Berikut adalah penjelasan tentang Adat Nan Teradat:

Adat yang Teradat pula adalah satu peraturan yang sengaja diadakan oleh ketua-ketua daerah iaitu Undang yang bertujuan membimbing masyarakat dalam kegiatan seharian bagi mencapai tujuan-tujuan yang baik. Adat yang sengaja diadakan ini mungkin berbeza antara sebuah wilayah dengan wilayah yang lain kerana mengikut kesesuaian tempat-tempat berkenaan. Bagaimanapun, pada asasnya peraturan-peraturannya tidak terkeluar daripada kehendak-hendak adat tersebut. (Sabariah Abdullah 2007: 10)

Adat Nan Taradat, adalah aturan-aturan atau ketentuan-ketentuan yang berlaku untuk satu Kenagarian, dibuat dan disepakati oleh para Ninik Mamak dari satu Nagari berdasarkan kebutuhan dan kondisi setempat, sebagai wujud hak otonomi Nagari yang bersangkutan. Adat Nan Taradat ini pada umumnya berbeda antar satu Nagari dengan Nagari yang lain, walaupun bertetangga. (H. Julius DT. Malako Nan Putiah 2007: 13)

Adat Nan Resam

Adat Nan Resam adalah suatu adat yang unik dipercayai hanya diamalkan dalam Wilayah Adat Perpatih Naning sa
haja, kerana secara asal di dalam Adat Perpatih ini dibahagikan kepada empat adat iaitu "Adat Nan Sebenar Adat", "Adat Nan Diadatkan" "Adat Nan Teradat" dan "Adat Nan Istiadat". Adat Nan Resam ini adalah suatu Adat yang dikatakan tentang sesuatu kebiasaan adat yang dilakukan oleh orang-orang di luak atau daerah tersebut serta sudah menjadi kebiasaan orang-orang di daerah tersebut mengamalkannya. Jika mengikut pada istilah, "Adat" membawa maksud; "peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun (sejak dahulukala) di dalam sesuatu masyarakat (sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus dipatuhi)" (Kamus Dewan 2007: 4' 8). Istilah "Resam" pula yang membawa maksud; "adat kebiasaan, aturan-aturan yang menjadi adat" (Kamus Dewan 2007: 4' 1323) Bermakna jika digabungkan antara dua perkataan Adat dan Resam ini memberikan kita gambaran yang jelas bahawa ianya adalah Hukum Kebiasaan yang diamalkan dalam wilayah atau daerah (luak) tersebut.