Friday, July 1, 2011

Kata Pengorak Sela 1

Saya menjunjung posako Yang Amat Mulia Orang Kaya Seri Raja Merah, Dato’ Penghulu Naning, Undang Naning, yang ke-18, sedar telah menerima tanggungjawab menjalankan keadilan kepada seluruh anak buah wilayah Adat Perpatih Naning khasnya, serta seluruh Lombago Adat dan Lombago Syarak yang sama-sama bertanggungjawab. Di sini ingin memberi penjelasan tentang pergertian Adat.

(Penjelasan 1)

Dari awal Kata Pengorak Sela ini adalah daripada pembukaan kata-kata Y.A.M. Al-marhum Dato’ Mohd. Shah bin Mohd. Said al-Haj untuk memberikan pengenalan tentang apakah maksud “Adat”.

(i) Adat bermaksud undang-undang pentadbiran.

(ii) Di dalam Wilayah Adat Perpatih Naning, perkataan Adat itu diadatkan dengan sebutan:

“Adat Perpatih Naning yang Berasaskan Adat Dato’ Pepatih Nan Sebatang.”

(iii) Adat ini adalah berdasarkan kata Adat Nan Diadatkan yang berbunyi:

(a) Dulu Adat – kemudian syarak.

(b) Jika tidak ada Adat – syarak pun tiada tempatnya.

“Dulu Adat, kemudian syarak; jika tidak ada Adat, syarak pun tiada tempatnya” membawa pengertian bahawa sekiranya Lombago (lembaga) Nabi Adam a.s. tidak ditempa maka syarak tiada tempatnya, sebab tiada manusia yang akan beramal pada-Nya.

(Penjelasan 2)

Secara difahamkan istilah “Adat” adalah membawa maksud; “Sesuatu peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun (sejak dahulukala) di dalam sesuatu masyarakat (sehingga merupakan hukum dan peraturan yang harus di patuhi) – (Kamus Dewan Bahasa 2004: 8). Selain daripada itu istilah asal “Adat” juga adalah daripada perkataan Arab yang juga membawa maksud berbeza iaitu “Sesuatu pekara yang biasa dilakukan” menurut pada perbuatan seseorang atau makhluk itu yang selalu melakukan pekara yang sama, maka dinamakan juga Adat (Mufida bin Ma’sum 2003: 735).

Pada kata adat “Dulu Adat – Kemudian Syarak” memberikan satu gambaran tentang apakah Y.A.M. Dato’ Undang Naning ke-18 ingin menjelaskan secara maksud tersebut. Jika kita lihat dari sudut sejarah pula, kedatangan atau pertapakan agama Islam ke tanah Asia Tenggara ini adalah sekitar kurun ke-8 hingga ke-16 masehi (Mahayudin Hj. Yahya & Ahmad Jelani Halimi 1993: 565), tetapi adat sudah lama diamalkan dan dilaksanakan di dalam sesebuah negara itu sendiri sebelum kedatangan agama Islam. Jika difikirkan secara logik, memang adat dahulu baru datangnya syarak (hukum Islam). Seperti pepatah petitih orang-orang Minangkabau – “Adat Bersandi Syarak, Syarak Bersandi Kitabullah” kerana Adat yang bermula dan diikuti dengan Syarak dan Syarak juga asalnya daripada hukum-hukum yang termaktub di dalam ayat-ayat suci Al-Quran (Kitabullah).

Yang berikut diterangkan tahap hidup yang dilingkungi Adat dan Syarak:

(i) Seorang anak yang baru lahir (bayi) adalah dikandungi hukum Adat; kehendak kemasyarakatan bermula iaitu makannya disuapkan, dia dimandikan, najisnya dibersihkan, kain lampinnya disalinkan semuanya menjadi tanggungjawab ibu dan bapanya.

(ii) Kemudian apabila berumur enam hingga tujuh tahun, dia dikandungi hukum akal.

(iii) Setelah baligh, dia dikandungi hukum syarak. Maka fahamlah kita bahawa seseorang yang menganuti agama Islam duduk di dalam kandungan (a) hukum Adat, (b) hukum akal dan (c) hukum syarak.

(Penjelasan 3)

Penjelasan diatas ini memberikan gambaran kepada tahap pembesaran manusia itu yang dirangkumi dari awal hingga keperingkat atasan iaitu pada awalnya apabila dilahirkan kedunia ini belum ada wajiban bagi seseorang insan tersebut, cuma hanya kewajiban bagi dia adalah secara “Hukum Adat” seperti contoh-contoh yang diterangkan diatas tadi atau boleh dikatakan pada dasar awal kelahiran seseorang tersebut adalah mengikut pada “Adat nan Sebenar” iaitu “Sunahtullah” kejadian disekeliling kita ini termasuk ciptaan manusia itu sendiri.

Pada peringkat seturusnya apabila sudah berumur 7 tahun keatas maka pembesaran anak tersebut semakin kemuncak dan sudah mula berfikir diantara mana yang baik dan mana yang buruk (mumayyiz) iaitu dikandungkan baginya hukum akal. Apabila sudah baligh, maka telah ditambah satu hukum baginya untuk mengerjakan didunia ini dan mesti mematuhinya seperti Solat, Puasa, dan sebagainya, pada masa tersebut telah tambah satu lagi tanggungjawab baginya serta mengikut suatu hukum yang dinamai hukum syarak.

Jika kita lihat secara keterangan yang tersebut diatas ini, bahawa setiap perjalanan hidup insan (manusia) ini mengikut kepada peringkat-peringkat yang telah disusunkan begitu indah dan tidak ada kecacatan di dalam skruktor hidup insan yang dinamai juga manusia.

HUKUM ADAT -HUKUM AKAL-HUKUM SYARAK

Sambungan Seterusnya...